DE

IAF
PRU15: Masa untuk kempen dalam talian

15th Malaysia General Election: Time to Campaign Online
© Camilo Jimenez on unsplash 

SAYA tidak pasti bagaimana ketua masyarakat dipilih pada zaman prasejarah. Saya cuma boleh membayangkan semuanya berlaku seperti proses pemilihan ketua kelompok binatang; individu yang paling kuat akan diangkat menjadi ketua dan memberi perlindungan kepada pengikut-pengikutnya. 

Kelahiran demokrasi dan peradaban manusia telah melahirkan kaedah yang lebih mudah untuk memilih pemimpin; iaitu melalui proses pilihan raya. Seperti itulah manusia, kita berevolusi mengikut zaman; sekarang kita berada pada era semuanya di hujung jari. 

Melihat kerajaan yang tidak stabil pada hari ini, sudah tentu kebanyakan kita percaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan segera berlaku. 

Persoalannya adakah kita mampu untuk mengadakan PRU15 dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih menghantui kita? 

Manfaatkan ruang digital

Saya boleh mengatakan rata-rata parti politik yang berada di Malaysia masih belum menggunakan ruangan digital sepenuhnya, walaupun mereka menyedari hakikat kepentingannya. 

Pada tahun 2018, laporan digital yang dikeluarkan Hootsuit dan We Are Social menunjukkan jumlah pengguna Internet di Malaysia menunjukkan peningkatan kepada 25.08 juta; atau 79% rakyat Malaysia. Laporan berkenaan turut mendedahkan Malaysia sebagai negara ke-9 di dunia yang paling aktif di laman sosial.

Ketika Belanjawan 2021 dibentangkan, ramai terkejut dengan peruntukan sebanyak RM85.5 juta diberikan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa). Bagi saya ia mudah difahami, kerajaan cuba memperbaiki imejnya di media sosial; dan hal ini akan memerlukan perbelanjaan yang besar. 

Saya akan berbohong jika saya mengatakan Jasa berjaya melakukan kerja tersebut dengan baik; hakikatnya imej Perikatan Nasional semakin merosot dengan kritikan dan krisis dalam yang mereka hadapi. 

Berbalik kepada isu sebenar yang saya ingin sentuh; pendigitalan demokrasi dalam keadaan pandemik, saya fikir ia boleh dilakukan. Dalam konteks kadar capaian asas Internet di Malaysia, kita boleh simpulkan sekurang-kurangnya separuh rakyat Malaysia memiliki akses kepada Internet. 

Jika kita berlaku optimis, kajian yang saya katakan tadi memperlihatkan 79% rakyat memiliki akses kepada Internet pada tahun 2018. Kemudian, parti-parti politik sudah selesa dengan kempen-kempen digital – disebabkan hal ini banyak kempen politik berlaku dalam ruangan digital.

Menghampiri PRU15, saya fikir kita boleh mengadakan pilihan raya melalui alam digital – jika tidak secara sepenuhnya, ia boleh dimulakan separa digital. Proses pengundian secara digital masih terlalu asing untuk kita, tapi saya tidak fikir berkempen secara digital adalah sesuatu yang baharu. Ia boleh menjadi fasa awal ke arah pengundian digital yang perlu dipastikan telus. 

Untuk mengadakan pilihan raya dalam talian yang telus, kita perlu menjelaskan kepada rakyat tentang teknologi blockchain yang menjadikan penipuan hampir mustahil berlaku. Model ini telah digunakan di negara seperti Estonia. Cuma ia akan mengambil masa untuk membina keyakinan, disebabkan hal ini kita perlu mulakan dengan kempen dalam talian. 

Kita boleh mengadakan pilihan raya dengan peraturan kempen digital harus diutamakan berbanding kempen fizikal yang berisiko tinggi. Dalam erti kata lain, permit untuk kempen fizikal dihadkan, ini akan memaksa parti politik mengutamakan kempen-kempen digital. 

Sebenarnya, kaedah ini turut memberi kelebihan kepada jentera pilihan raya, mereka boleh mengukur keberjayaan kempen mereka melalui data-data empirikal yang diberikan oleh platform digital.

Saya pasti ramai yang tidak selesa dengan kaedah seperti ini kerana ada sesetengah calon yang turun ke kawasan dengan membawa wang untuk diberikan kepada para pengundi. Kempen digital akan menyukarkan proses ‘wang terbang’ berlaku semasa tempoh kempen. 

Jika calon-calon ingin memberikan wang kepada pengundi, mereka perlu melakukan transaksi perbankan – sesuatu yang boleh dijadikan bukti konkrit di mahkamah. 

Apabila elemen politik wang dapat dikurangkan dalam tempoh berkempen, kita pastinya akan melihat kriteria-kriteria yang berbeza terhadap calon. Misalnya apa ‘track record’ yang mereka miliki, dan idea-idea yang mereka tawarkan semasa pilihan raya. 

Kita harus mencari jalan untuk menjadi penilaian ahli politik menjadi objektif. Semua ini perlu dinilai sebelum hari membuang undi, selepas dipilih rakyat, kita akan gunakan semula ‘janji-janji’ ini untuk proses semak imbang. 

Saya tegaskan, prestasi wakil rakyat harus mampu diukur! Alam digital mampu memudahkan proses itu; jika mereka benar-benar bekerja.

Kita berada pada fasa yang terdesak, langkah terdesak seperti ini harus diambil. Kerajaan pada hari ini tidak stabil kerana Umno nampaknya telah menarik sokongan kepada Perikatan Nasional, dan meminta diadakan pilihan raya. 

Sudah masanya kita kembalikan mandat ini kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka inginkan. Dengan perkembangan teknologi yang ada, kita mampu mengadakan pilihan raya sambal mengurangkan risiko kadar jangkitan meningkat mendadak. – 1 Mac, 2021.

* Rahman Imuda,  alumni Program Pendigitalan dan Demokrasi kelolaan International Academy for Leadership (IAF), Gummersbach, Jerman.

*Artikel ini pertama kali diterbitkan pada  The Malaysian Insight