DE

Internet in Malaysia
Tingkatkan capaian internet

Internet
© Leon Seibert from Unsplash 

PELAN pemulihan kerajaan perlu lebih fokus dalam usaha penambahbaikan capaian internet di seluruh negara. Mengambil pengajaran daripada pengalaman sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan aktiviti terpaksa dilakukan secara dalam talian.

Capaian internet yang kurang memadai dan tidak merata khususnya di Sabah serta Sarawak telah menjejaskan sektor pendidikan dan pekerjaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyatakan sehingga 31 Mac lalu, liputan rangkaian 4G Malaysia telah mencapai 93.51 peratus. Namun, tidak dinafikan masih ada jurang digital dalam kalangan rakyat Malaysia yang perlu ditangani segera oleh kerajaan.

Pendidikan adalah antara sektor paling terkesan. Pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman mengalami kesukaran mendapatkan liputan telefon dan internet disebabkan lokasi tempat tinggal mereka di kawasan berbukit-bukau dan hutan belantara. Ia diburukkan lagi dengan masalah isi rumah yang kekurangan atau ketiadaan peranti terutama mereka yang tergolong dalam kalangan B40.

Walaupun kerajaan telah memperuntukkan RM2 bilion melalui Pemerkasa iaitu subsidi sebanyak RM300 bagi pembelian telefon atau peranti baharu untuk setiap isi rumah yang mempunyai anak bersekolah, jumlah itu mungkin tidak mencukupi jika keluarga berkenaan mempunyai bilangan anak lebih daripada seorang.

Sementelah, dapatan terkini oleh Jabatan Perangkaan melalui Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan 2020 Malaysia menunjukkan 20 peratus atau 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 telah jatuh ke dalam kumpulan B40 akibat Covid-19.

Kesihatan mental dan sosial pelajar akan terkesan kerana bukan sahaja mereka ketinggalan dalam pelajaran tetapi juga kerana perhubungan dan komunikasi dengan guru serta rakan sekolah yang terhad.

Selain sektor pendidikan, sektor pekerjaan turut mengalami masalah akibat kekurangan capaian internet. Masih ramai pekerja sektor perkhidmatan awam dan perniagaan di Malaysia bekerja dari rumah disebabkan wabak yang masih melanda.

Peralihan ke arah bekerja dari rumah atau dalam talian juga memerlukan sambungan internet yang pantas serta stabil.

Menurut laporan Makmal Infrastruktur Digital Negara (NDIL) pada 3 September 2020, penggunaan internet di Malaysia telah beralih ke kawasan perumahan sebanyak 50 hingga 70 peratus. Trafik internet telah menunjukkan peningkatan 30-70 peratus, manakala kelajuan internet pula telah berkurang sebanyak 30-40 peratus.

Amat mengecewakan apabila terdapat keluhan rakyat tentang pelbagai urusan yang tergendala disebabkan jabatan dan agensi kerajaan tidak memberikan perkhidmatan secara fizikal, sebaliknya secara dalam talian.

Namun, urusan dalam talian juga terganggu disebabkan laman sesawang jabatan atau agensi kerajaan mengalami kesesakan kerana trafik tinggi. Saranan dan galakan kerajaan supaya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih ke arah pendigitalan serta dalam talian juga tidak akan berupaya dilaksanakan jika mereka tidak dapat menerima liputan dan capaian internet.

Hal itu membuktikan keperluan penaiktarafan sambungan internet perlu dititikberatkan dan diberi keutamaan oleh pihak kerajaan. Internet kini aspek penting dalam kehidupan kita. Malah, sewajarnya perkhidmatan internet dijadikan sebagai salah satu utiliti awam seperti air dan elektrik, sebagaimana dicadangkan NDIL dalam laporannya itu.

Justeru, kerajaan perlu mengutamakan dan menyegerakan pembinaan infrastruktur baharu serta melakukan penaiktarafan kemudahan sedia ada. Kerjasama dan inisiatif antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan syarikat perkhidmatan telekomunikasi perlu diadakan supaya pelbagai halangan serta cabaran seperti masalah kadar sewaan tanah untuk pembinaan menara pemancar dapat diselesaikan segera.

Selain tawaran pakej internet dan bantuan subsidi yang hanya langkah jangka pendek dan bersifat one off, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengguna pakai satelit demi memperluas lagi capaian liputan internet di seluruh negara.

Sebarang penamatan spektrum rangkaian lama perlulah dinilai sepenuhnya supaya ia tidak meluaskan jurang digital dan faedahnya dapat dinikmati setiap lapisan masyarakat.

Infrastruktur dan capaian internet perlu diperluaskan di seluruh negara dan tidak hanya tertumpu di negeri maju atau di bandar sahaja kerana internet sudah menjadi sebahagian keperluan dunia di hujung jari.

Kerajaan juga perlu memastikan pasaran yang kompetitif demi memastikan capaian perkhidmatan internet dapat bersesuaian dengan harga mampu milik dan berpatutan.

Ditulis oleh Zuhdi Farhan - Eksekutif di bawah unit Perhubungan Luar di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Artikel ini mula-mula diterbitkan di https://premium.sinarharian.com.my/article/153848/mediasi-kritis/perspe…